Israk dan Mikraj Temu Anwar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di negara ini supaya bersama-sama perbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman Nabi Muhammad SAW semasa peristiwa agung Israk dan Mikraj.

Beliau turut meminta umat Islam untuk bangkit dengan lebih bertenaga, memulihkan maruah serta meningkatkan martabat dan harakat rakyat.

“Semoga negara kita akan terus beroleh keredaan Allah SWT,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Anwar turut mengajak umat Islam mengenang Israk dan Mikraj yang disambut hari ini sebagai satu permusafiran ruhaniyyah yang dihadiahi Allah SWT kepada kekasih-Nya tatkala diuji berat dengan pemergian suri hatinya Saiyidatina Khadijah r.a. dan bapa saudara baginda, Abu Talib.

Menurut beliau, maruah dihina dalam episod getir di Taif hampir menjatuhkan semangat junjungan baginda, namun ternyata kembali pulih sepulangnya baginda dari Sidratul Muntaha, sambil mengemban amanah baru buat membebaskan umat dari belenggu kejahilan.

“Maka, bermulalah kewajiban solat lima waktu selaku tonggak perhubungan abadi antara hamba dengan Penciptanya.

“Akidah dan akhlak harus diperteguh sebelum umat tampil memikul kewajiban yang lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette