SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya ikhlas membantu mangsa penipuan kerja bukan cuba mengambil kesempatan ke atas mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, walaupun pihaknya menghargai peranan NGO yang menghulurkan bantuan namun mengakui ada juga mengambil kesempatan.
“Banyak NGO, saya tidak tuduh semua NGO ya. Ada yang sememangnya ikhlas membantu mangsa bersama pihak polis dan Kementerian Luar. Kepada NGO-NGO itu, kita amat hargai yang mana mereka dapatkan maklumat dari waris atau keluarga mangsa sebelum salurkan kepada kita dan Kementerian.
“Tapi pada masa sama, ada juga NGO tertentu telah mengambil peluang dan mengeksploitasi keadaan. Mereka ambil kesempatan terhadap kesempitan golongan (mangsa). Cuba ambil keuntungan dari nasib menimpa mangsa.
“Saya nasihatkan kepada NGO-NGO ini, hentikanlah. Pihak di luar sana terutamanya pihak berkuasa Thailand berkecil hati dengan segelintir pertubuhan yang berkata adanya ‘kos-kos pelincir’ untuk bawa pulang warga kita kembali.
“Sebenarnya tidak ada pun kos-kos sedemikian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Tambah Abd Jalil, hasil perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand mendapati sesetengah dakwaan mengenai mangsa juga tidak berasas.
“Selepas ini, polis Thailand juga telah membuat ketetapan hanya akan menyiasat dengan segera berdasarkan laporan polis serta aduan kepada pejabat kedutaan sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Jalil juga mendedahkan ketika ini dua syarikat agensi pekerjaan di negara ini dipercayai menjadi dalang merekrut individu tempatan untuk dihantar berkerja dengan sindiket penipuan pekerjaan luar negara.
Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan beberapa individu bulan lalu.
Kedua-dua syarikat itu merupakan agensi pekerjaan sah yang menjalankan aktiviti membawa pekerja asing ke negara dalam pelbagai sektor.
“Syarikat itu yang bertopengkan agensi pekerjaan sah menjerat mangsa di negara ini untuk dihantar bekerja dengan sindiket di luar negara. Syarikat ini ada lesen sah untuk rekrut pekerja warga asing untuk kerja di negara ini termasuk sebagai pembantu rumah dan buruh tetapi mengambil kesempatan eksport rakyat Malaysia ke luar negara untuk kegiatan penipuan.
“Saya juga mohon kepada semua supaya lebih berwaspada, tolong fikir bukan sekali tapi 10 kali sebelum terima tawaran-tawaran lumayan seperti ini,” tegasnya.
Difahamkan kebanyakan mangsa terpedaya dengan tawaran gaji lumayan mencecah sehingga AS$2,000 (RM9,600) sebulan. -MalaysiaGazette