S. Gobi Krishnan

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (DPM) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian lesen perniagaan nombor ramalan empat digit kepada syarikat milik tiga individu terkaya negara.

Tanpa menyatakan nama tiga individu terbabit, pengerusinya, S. Gobi Krishnan berkata, lesen itu sewajarnya diberikan kepada yayasan atau entiti yang berkaitan dengan menjaga kepentingan golongan dan kaum minoriti di negara ini.

“Hakikatnya tiga individu ini mendapat lesen perniagaan itu kerana hubungan rapat dengan kepimpinan tertentu negara pada waktu itu dan melalui lesen tersebut mereka menjadi bilionair dalam sekelip mata.

“Ini dibuktikan dengan pendapatan tahunan tiga syarikat nombor ramalan terbesar negara itu yang mencecah lebih RM6 bilion secara kumulatif dengan keuntungan bersih RM1 bilion setahun.

“Jadi, apa rasionalnya mereka diberi begitu banyak keistimewaan mengumpul kekayaan sedangkan pendapatan dan keuntungan tersebut boleh disalurkan untuk kepentingan negara terutama kepada kaum minoriti dari segi kebajikan, pendidikan, perumahan dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Gobi mencadangkan kerajaan menamatkan lesen syarikat berkenaan dan memperkenalkan semula Loteri Kebajikan Masyarakat yang diuruskan oleh sebuah yayasan.

Kata beliau, yayasan itu pula perlu melaporkan terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerusi unit atau bahagian baharu yang bertanggungjawab dengan hal ehwal masyarakat minoriti.

“Melalui inisiatif ini, hasil kutipan tahunan bagi tiga syarikat nombor ramalan berkenaan yang mencecah RM6 bilion tidak lagi bersifat keuntungan semata-mata, sebaliknya disalurkan untuk kepentingan kaum minoriti.

“Tindakan ini juga bakal meringankan beban kerajaan dalam mencari pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan negara yang semakin meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette