Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Seri Abd Jalil Hassan bercakap sesuatu bersama ma orang mangsa penipuan kerja di Thailand yang berjaya dibawa balik ke Malaysia ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2023.

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Diraja Thailand (RTP) berjaya menyelamatkan lima daripada 19 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Thailand baru-baru ini.

Dipercayai kesemua mangsa berada di Thailand antara sebulan hingga dua bulan sebelum diselamatkan pihak berkuasa kedua-dua negara dan selamat tiba ke tanah air hari ini.

Kesemua mereka disambut oleh Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar (KLN), Datuk Mohamad Ali Selamat dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Bercakap dengan pemberita, Abd Jalil berkata, pihaknya sedang bertungkus lumus mengenalpasti lokasi, proses perundingan serta lain-lain membabitkan semua mangsa yang masih terkandas ketika ini.

“Mengikut laporan, kita kenal pasti 19 mangsa yang mana lima daripadanya sudah diselamatkan dan di bawa pulang. Kita sedang berusaha.

“Ketika ini juga sehinga 18 Februari 2023, PDRM telah menerima sebanyak 267 laporan melibatkan seramai 339 mangsa terkandas di luar kerana jenayah penipuan kerja.

“Daripada jumlah ini, kita telah selamatkan 218 mangsa dan masih ada lagi 121 mangsa di beberapa negara. Antaranya Kemboja, Myanmar, Laos, Thailand dan lain-lain negara,” katanya.

Bagi negara Thailand, terdapat 13 laporan diterima melibatkan 26 mangsa, seramai tujuh telah diselamatkan dan sebanyak 19 lagi mangsa masih lagi dikesan.

“Tujuh mangsa pula dalam proses imigresen untuk dihantar pulang kerana pelanggaran undang-undang negara itu,” katanya di Balai Ketibaan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Seri Abd Jalil Hassan bercakap kepada media berkaitan kejayaan membawa balik lima orang mangsa penipuan kerja di Thailand ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 19 FEBRUARI 2023.

Dalam pada itu, Abd Jalil juga telah mengadakan pertemuan Penolong Ketua Polis Thailand, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn di Bangkok pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan negara itu bersetuju untuk perkukuh kerjasama membanteras penipuan luar negara negara.

“PDRM dan RTP setuju berkongsi maklumat dan data bagi mengenalpasti rangkaian jenayah, trend semasa dan modus operandi terkini demi mengelak rakyat kedua-dua negara daripada menjadi mangsa penipuan.

“PDRM dan RTP bersetuju supaya maklumat mangsa penipuan pekerjaan disalurkan ke Kementerian Luar dan polis Malaysia. Kita juga akan bekerjasama dalam menyiasat dan menjejaki dalang utama sindiket penipuan pekerjaan sama ada di Malaysia atau Thailand,” ujarnya.

Abd Jalil turut memaklumkan ada kalangan agensi syarikat yang sah namun menggunakan syarikat mereka untuk melakukan job scam dan pihak berkuasa sedang menjejaki agensi-agensi terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast