Gambar hiasan

MALAYSIA Corruption Watch (MCW) terpanggil dan bertanggungjawab untuk memberi pandangan bagi melahirkan kegusaran terhadap Laporan Audit Negara 2021 Siri 2 yang telah dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid baru-baru ini.

MCW memandang serius terhadap isu ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam perbelanjaan negara sepertimana dalam laporan berkenaan. Ini adalah perkara serius yang boleh menjadi barah sekiranya tiada noktah.

Kandungan laporan berkenaan yang amat membimbangkan adalah berhubung perbelanjaan negara semasa pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Terlihat daripada laporan tersebut pembelian yang tidak terkawal dan dilakukan tanpa semak dan imbang serta tanpa pertimbangan yang mendalam.

Apabila dilaporkan sejumlah 93 daripada 136 ventilator yang telah dibeli tidak dapat digunakan sepenuhnya, maka ia adalah sesuatu yang amat tidak boleh diterima.

Dilaporkan kerugian yang ditanggung oleh negara adalah sebanyak RM13.07 juta.

Manakala terdapat lebihan ketara dan keterlaluan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sebanyak 3.08 juta pasang sarung kasut dan 0.84 juta helai sut PPE.

Satu jumlah yang bukan sedikit. Jumlah jutaan ringgit terbazir. Bukan wang milik individu sebaliknya wang milik negara. Milik rakyat Malaysia.

Hal ini menampakkan secara jelas semasa proses pembelian ventilator berkenaan tidak dilakukan secara teliti dan tiada pemeriksaan secara menyeluruh. Manakala pembelian PPE seolah-olah dibuat secara semberono atau “asal boleh”.

Jauh daripada itu, pembelian berkenaan boleh juga menimbulkan keraguan iaitu adakah ia hanya mengikut kehendak pihak tertentu tanpa mengikut keperluan sebenar.

Acapkali pembelian yang berlebihan secara keterlaluan dan ketara timbul akibat daripada terdapatnya proses urusan jual beli yang diragui dan dibimbangi ketelusan dan kesahihannya.

Tidak boleh ada sebarang alasan diberikan untuk melepaskan diri. Semua terlibat harus bertanggungjawab. Meski pembelian dibuat atas faktor mendesak atau kecemasan, kebertanggungjawaban masih perlu ada.

Integriti dan amanah adalah sesuatu yang tiada toleransinya. Ia harus wujud dan dilaksanakan dalam semua keadaan.

Apatah lagi ia melibatkan sejumlah peruntukan wang yang besar. Ia adalah wang negara! Ia adalah wang rakyat yang tidak boleh dibelanjakan sesuka hati!

Dalam pada kita mempersoalkan pembelian dan pembaziran yang telah berlaku, MCW ingin menarik perhatian seluruh dan setiap warga Malaysia khususnya pemimpin negara iaitu Laporan Ketua Audit Negara itu sendiri harus dipersoalkan hala tujunya.

Ke mana selepas ini? Apa tindakan susulan selepas ini? Adakah sekadar dan semata-mata menjadi “laporan” sahaja? Tanpa sebarang tindakan susulan?

Hal ini dilihat tiada pengakhiran. Saban tahun setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan, terlihat pelbagai ketirisan. Maka pelbagai pihak akan memberi pelbagai reaksi.

Namun ia hanya bertahan selama beberapa ketika. Boleh dikatakan “hangat-hangat tahi ayam”.

Justeru, MCW mendesak pihak berkaitan khususnya kerajaan untuk memberi respon yang bukan hanya bersifat retorik. Sebaliknya MCW mencadangkan agar diwujudkan sebuah suruhanjaya bebas untuk bertindak terhadap Laporan Ketua Audit Negara.

Suruhanjaya berkenaan yang dinamakan Suruhanjaya Khas Bertindak Audit Negara hendaklah dianggotai oleh pihak yang tidak terlibat dan yang tidak berada di dalam laporan berkenaan.

Malah, pegawai atau kakitangan yang berada di dalam institusi atau organisasi yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara berkenaan turut tidak boleh menganggotainya. Ia mesti benar-benar bebas dalam erti kata sebenar.

Suruhanjaya berkenaan hendaklah melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen. Suruhanjaya berkenaan tidak boleh berada di bawah eksekutif atau kerajaan mahupun Kabinet kerana yang diaudit adalah eksekutif atau kerajaan. Manakan wajar pihak yang diaudit yang akan menjadi badan bertindak yang bebas.

Sehubungan itu, MCW menggesa agar disegerakan penubuhan Suruhanjaya Khas Bertindak Audit Negara ini bagi mengekang isu ketirisan daripada membarah di negara ini.

MCW bersedia untuk bersama membantu usaha merealisasikan hasrat murni ini demi Malaysia yang bebas daripada belenggu dan kemelut ketirisan dan integriti.

MCW
Rosdi Amir

ROSDI AMIR
Setiausaha Agung MCW