KUALA LUMPUR – Polis dilaporkan menyiasat berhubung peserta perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 membawa ‘senjata’.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Husain berkata, pihaknya bagaimanapun masih meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung tindakan peserta terbabit.
Menurut beliau, polis telah berhubung dengan wakil penganjur untuk dipanggil membantu siasatan.
Polis juga menunggu sekiranya terdapat laporan polis dibuat mana-mana individu mengenai perarakan tersebut.
“Polis sedang menyiasat keaslian objek berbentuk senjata itu yang dibawa peserta ketika perarakan berkenaan sama ada replika atau sebaliknya.
“Buat masa ini, kami masih menilai tindakan yang boleh diambil ke atas penganjur atau peserta berdasarkan peruntukan undang-undang dari sudut jenayah,” katanya di Terengganu hari ini.
Sebelum itu, tular di media sosial sejak semalam foto peserta Himpit berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak, pedang dan perisai ketika penganjuran program itu.
Selain itu, turut tular gambar memaparkan pacuan empat roda yang membawa objek berbentuk sebilah pedang besar di bahagian muatan belakang kenderaan terbabit. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Terima kasih promosi HIMPIT, tiada pelik pakaian pahlawan Islam – Aslam