Nasrudin
Replika pedang Zulfaqar milik Rasulullah SAW dibawa atas sebuah trak pikap pada Program HIMPIT di Setiu, kelmarin. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Kecaman dan cemuhan yang dilontarkan pelbagai pihak terhadap sekumpulan pemuda yang memakai pakaian ala tentera Islam zaman silam pada program Program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) menggambarkan ketakutan yang melampau terhadap Islam.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, lebih malang, terdapat sebahagian umat Islam sendiri yang paranoid terhadap peristiwa tersebut.

Menurut beliau, para netizen mengecam dan mencemuh atas alasan menggangggu ketenteraman awam serta mempamerkan elemen ganas dan ekstrem.

“Walhal Malaysia adalah sebuah negara yang telah banyak menyajikan perarakan serupa saban tahun. Tidak timbul sebarang isu.

“Perarakan bersenjata oleh pasukan bersenjata negara sering kita lihat dalam perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Pahlawan dan majlis-majlis rasmi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

nasrudin hassan rafizi pas
Nasrudin Hassan

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyifatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam sebagaimana berlaku di Terengganu kelmarin amat tidak wajar.

Katanya, perarakan itu telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

Nasrudin menambah, terdapat juga pertunjukan adu senjata menggunakan tombak, lembing, pedang dalam opera dan upacara budaya serta agama kaum tertentu dalam negara in termasuk menggunakan kostum pahlawan silam yang lengkap bersenjata.

Malah, katanya, fenomena filem Mat Kilau baru-baru ini mendorong orang ramai tampil mempamerkan busana Melayu lengkap dengan keris di pinggang di khalayak ramai.

Namun, beliau memberitahu, reaksi berbeza ditunjukkan apabila Pemuda Pas Terengganu dalam satu majlis perarakan bertema, memperagakan busana pejuang-pejuang Islam zaman silam dengan berjubah dan berserban serta beberapa prop digunakan sebagai kostum baju besi dan pedang yang diperbuat dari kayu dan peralatan DIY.

“Tiba-tiba meletus ketakutan yang bukan-bukan pada setengah pihak lalu sengaja menjadikan perarakan itu sebagai modal menghentam Pas,” jelasnya.

Nasrudin percaya bahawa perkara itu dijadikan isu kerana ia membabitkan busana pahlawan dan pejuang Islam zaman silam.

Beliau berkata, kalau pihak-pihak lain melakukannya, mungkin mereka akan memuji sebagai menarik serta mempamerkan warisan pusaka yang perlu dikenang.

“Kalau dah paranoid, memang sukar untuk dirawat. Selayaknya mereka melihat lambakan filem-filem aksi ganas sebagai lebih merbahaya dan membentuk minda ganas dalam masyarakat peniru,” katanya.

Pada masa yang sama, Nasrudin berharap Mohd. Na’im turut mengecam filem Pulau yang didakwa jelas bercanggah dengan syariat serta lebih mengganggu ketenteraman awam dengan aksi separa lucah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lebai..Bnyk cara lain lg nak memperkukuhkan syiar agama yg berhemah tanpa wujudkan prasangka sape2.. Lemah!!!

Comments are closed.