Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia segera membentangkan langkah keselamatan melindungi kecurian data peribadi aplikasi MySejahtera daripada terus berulang.

Hal ini susulan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 yang mendedahkan sebanyak 3 juta data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera telah dimuat-turun oleh akaun super-admin pada 28 Oktober hingga 31 Oktober 2021 yang lalu.

Wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Malaysia , Tarmizi Anuwar menggesa Kementerian Kesihatan mempertingkatkan langkah keselamatan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin dan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

”Kementerian Kesihatan perlu segera bertindak memperketatkan sistem pengurusan
keselamatan data dan aplikasi MySejahtera seperti yang disarankan oleh Laporan Ketua
Audit Negara bagi mengelakkan pencerobohan data pengguna berulang lagi.

”Hal ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan tersebut, selepas satu tahun tiga bulan laporan polis dibuat, pihak
kerajaan masih belum mendapat mengenalpasti apakah medan data yang telah dimuat
turun dan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

”Kementerian Kesihatan perlu segera mengambil tindakan ini kerana selepas satu
tahun tiga bulan pihak Kementerian masih tidak mengetahui atau mengenalpasti medan
data peribadi yang telah dimuat turun.

Hal ini sangat membimbangkan kerana seramai lebih 3 juta data pengguna berisiko untuk disalahgunakan oleh pihak yang telah memuat turun,” katanya lagi.

Menurut Tarmizi lagi, Kementerian Kesihatan juga perlu mengambil serius soal selidik
yang telah dijalankan oleh pihak audit mengenai persepsi pengguna aplikasi MySejahtera.

Berdasarkan tinjauan tersebut sebanyak 2,699 respons atau 49.8 peratus tidak bersetuju data peribadi disimpan dalam pangkalan data aplikasi My Sejahtera.

Manakala hanya 1,168 respon atau 21.8 peratus setuju dan selebihnya neutral.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh pihak audit menunjukkan pengguna tidak yakin mengenai tahap keselamatan aplikasi MySejahtera dan mempunyai kerisauan sekiranya maklumat atau data peribadi mereka diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, walaupun negara sudah masuk ke fasa endemik dan aplikasi ini tidak digunakan seperti sebelum ini tetapi data peribadi pengguna masih disimpan dalam aplikasi ini.

Justeru, Kementerian Kesihatan perlu mengambil tindakan segera dan menjelaskan secara umum kepada pengguna langkah-langkah yang akan diambil untuk menangani perkara ini secara serius dan bertanggungjawab dalam memastikan perkara ini tidak berulang, ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast