Mohideen.
Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat aliran keluar aset kewangan dari Malaysia ke akaun rahsia di tempat perlindungan cukai (tax haven).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya pernah menyeru kerajaan menubuhkan RCI kerana siasatan oleh agensi tidak mencukupi untuk menangani isu ini.

Kata beliau, RCI mesti mengenal pasti kelemahan dalam undang-undang dan institusi kita yang membolehkan aliran keluar wang haram dan membuat cadangan bagi mengukuhkan rangka kerja institusi perundangan dalam menangani masalah itu.

“Kita juga mencadangkan siasatan itu perlu membabitkan kerjasama negara lain dan melakukan perkongsian automatik maklumat kewangan merentas sempadan.

“Penerima manfaat individu utama sesuatu syarikat, amanah dan yayasan perlu didedah kepada awam dan pelaporan demi negara untuk syarikat multinasional juga perlu dilakukan.

“Selain itu, perlu ada juga sistem bagi mengenal pasti, membendung dan mengurangkan salah harga pindahan oleh syarikat yang sengaja melambungkan kos mereka dan mengecilkan keuntungan melalui urus niaga dalam syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohideen turut mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun rahsia di tempat perlindungan cukai yang dikendali rakyat Malaysia, seperti yang didedahkan dalam Pandora Papers.

Tegas beliau, siasatan itu juga perlu merangkumi individu dan syarikat Malaysia yang sudah dinamakan dalam Panama Papers 2015 dan Paradise Papers 2016 yang didedahkan dahulu.

“Pada 2015, Panama Papers mendedahkan bahawa 2,300 individu dan entiti Malaysia menyembunyikan wang di tempat perlindungan cukai luar pesisir (offshore).

“Manakala pada 2016, Paradise Papers pula mendedahkan cara syarikat multinasional dan individu kaya raya memindahkan wang dari sebanyak 19 tempat perlindungan cukai bagi mengelak atau menghindari cukai.

“Apakah alasan mereka menyembunyikan wang itu dan apakah sumber kewangannya? Laporan dalam Papers ini mendedahkan bahawa banyak syarikat luar pesisir adalah entiti ‘palsu’ yang terbabit dalam pengelakan atau penghindaran cukai, manipulasi pasaran dan pengubahan wang haram,” kata beliau. – MalaysiaGazette