zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim akan membawa satu manifesto iaitu keadilan, sekiranya beliau dibenarkan bertanding dan menang jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu berkata, beliau telah menulis surat rayuan berhubung statusnya sebagai ahli baharu kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam.

Berikutan itu katanya, beliau akan menghantar borang pencalonan di ibu pejabat UMNO Menara Dato’ Onn, di sini, pada Jumaat ini.

“Saya tawar diri bertanding jawatan MKT sebab di Malaysia ini dan juga dalam UMNO khususnya tidak ada sesiapa pun hendak cakap pasal keadilan. Kalau ada pun ketika mereka menjadi pembangkang, bila sudah jadi kerajaan, mereka dah lupa.

“Ialah setiap calon politik mereka janji macam-macam, nak bela negara, agama, sultan, Raja Melayu dan bangsa. Saya hanya nak bela keadilan. Keadilan adalah penting,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Zaid, beliau perhatikan pemimpin parti seolah takut hendak perjuangkan keadilan, bimbang tidak dapat naik pangkat, tidak dapat kontrak, takut Perdana Menteri tidak suka dan sebagainya.

Katanya, yang ada hanya kumpulan tertentu yang menganggap apa yang diperjuangkannya adil bagi mereka, sedangkan keadilan itu hak menyeluruh, bukan untuk pihak tertentu sahaja.

“Sebelum ini, kita pernah dengar suara-suara membangkitkan pendakwaan tidak adil. Tetapi apabila mereka berkuasa, mereka tidak bangkit pun perkara ini.

“Jadi, saya nak budaya baharu ada dalam UMNO dan dalam parti politik supaya konsep keadilan ini digunapakai untuk semua dengan kriterianya sama, tidak ada berat sebelah.

“Dalam hal ini saya harap dapat sokongan. Saya menyeru kepada pucuk pimpinan agar mempertimbangkan rayuan saya untuk membolehkan saya bertanding,” katanya. – MalaysiaGazette