Nurul Fadzilah Kamaluddin

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan yang didakwa menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dikecam Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketuanya, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, SPRM tidak sepatutnya menjadi perkakasan kerajaan untuk membuat political presecution dan fitnah jahat ke atas para pemimpin pembangkang.

“Srikandi Muda BERSATU Malaysia berpendapat langkah-langkah jahat ini adalah bagi menutup segala kepincangan yang berlaku di dalam Kerajaan PH-BN.

“Pelbagai kegagalan demi kegagalan dihasilkan Kerajaan PH-BN belum pun mencapai 100 hari usia pentadbiran. Antaranya adalah lantikan Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan kluster mahkamah, amalan nepotisme yang direstui, kenaikan harga barangan keperluan asas yang tiada jalan penyelesaian, kebebasan bersuara yang disekat serta janji-janji manisfesto yang dibakul- sampahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan dibuat ke atas beberapa pemimpin PN antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan terbaharu kepada bekas Ketua Penerangan PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Semalam, Wan Saiful diseret ke mahkamah atas dakwaan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada kerajaan.

Beliau turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali.

Dalam pada itu, Nurul Fadzilah turut menggesa agar SPRM diletakkan di bawah kawal selia Parlimen.

Langkah itu, katanya, supaya badan tersebut tidak disalahgunakan dan menjadi perkakas government of the day untuk membalas dendam terhadap musuh politik.

“Srikandi Muda Bersatu Malaysia berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak buat-buat lupa dan mengotakan janjinya dalam mereformasikan institusi-institusi penting di Malaysia dalam agenda good governance dan democratic accountability beliau,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Laaaa dah ko sakau duit masuk akaun syarikat sendiri perkakas apa dia? Korang yg jdkan jawatan sebagai perkakas utk menyamun, hanattttt

Comments are closed.