KUANTAN – Tapak Kuantan Recreation Club yang dibina lebih 100 tahun lalu kini menjadi taman bandar yang moden menjadi tarikan baharu pelancong.
Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, pusat rekreasi itu sudah mula dibuka secara rasmi semalam dan boleh dikunjungi orang ramai bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam.
Lokasi Kuantan Recreation Club yang pernah dibina pada tahun 1909 pada zaman British itu pernah menjadi padang latihan bola jaring dan terletak berhadapan Kompleks Teruntum yang kini tersergam dengan cahaya lampu pada waktu malam.
Ia juga menyediakan taman permainan dan ruang untuk pengunjung menikmati keindahan bandar raya ini dengan susana mendamaikan diiringi pancutan air dari kolam.
“Penambahan kemudahan rekreasi moden di tengah bandar raya ini diwujudkan bagi memberi keseimbangan kepada gaya hidup mampan dan ia mampu ini menampung 150 pengunjung dalam satu-satu masa.
“MBK yakin pembinaan City Garden dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Kuantan terutamanya yang tinggal di kawasan bandar raya ini.
“Saya berharap pengunjung dapat memberi kerjasama dengan menggunakan kemudahan yang kita sediakan dengan sebaiknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hamdan berkata, taman bandar dibina berdasarkan konsep harmoni simetri di padang KRC Kuantan yang memberi peluang kepada penduduk berinteraksi dengan pemandangan alam semula jadi.
Tambah beliau, pihaknya menerima RM3.5 juta daripada kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan taman bandar itu dan bagi projeknya bermula 16 Jun 2021 dan siap sepenuhnya pada 5 September 2022. – MalaysiaGazette