Tiga buah kediaman teres dua tingkat di Jawi, Pulau Pinang disita CIDB Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Padah guna khidmat kontraktor warga asing bagi mengubah suai kediaman menyebabkan seorang pemilik rumah di Jawi di sini berdepan kerugian kira-kira RM200,000.

Ia susulan rumah teres dua tingkat milik warga tempatan itu disita Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang hari ini.

Zahidi.

Pengarah CIDB Pulau Pinang, Zahidi Hashim berkata, kediaman itu disita pihaknya susulan pemilik tidak mematuhi syarat pengubahsuaian iaitu menggajikan kontraktor warga asing.

Jelas beliau, situasi itu menyebabkan pemilik rumah berdepan kerugian termasuk pengubahsuaian kediamannya turut tergendala.

“Bila kita sita rumah itu, pemilik tidak boleh teruskan kerja-kerja pengubahsuaian sehingga siasatan selesai yang mana mengambil masa sehingga 14 hari.

Pegawai CIDB Pulau Pinang sedang soal siasat kontraktor warga asing yang diupah bagi melakukan kerja-kerja mengubah suai di kawasan perumahan teres dua tingkat di Jawi, Pulau Pinang hari ini.

“Selain itu, pemilik juga perlu melantik kontraktor tempatan yang baru untuk meneruskan kerja-kerja mengubah suai rumahnya sekali gus menyebabkan dia harus menanggung kos tambahan.

“Lebih malang, pemilik rumah juga berisiko kehilangan duit yang dilaburkan untuk pengubahsuaian memadangkan perjanjian dengan kontraktor warga asing itu tidak diambil pakai oleh CIDB,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Zahidi dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan serbuan di kawasan perumahan teres dua tingkat di Jawi di sini.

Zahidi (duduk) memeriksa dokumen kontraktor yang diupah bagi kerja-kerja mengubahsuai kediaman teres milik warga tempatan.

Operasi bermula pukul 10 pagi itu dilakukan selepas pihak CIDB menerima aduan berhubung pemilik rumah tempatan menggajikan kontraktor asing bagi kerja-kerja mengubah suai kediaman.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, dalam serbuan sama pihaknya turut menyita dua buah kediaman atas faktor kontraktor tidak memiliki sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) serta PPK tamat tempoh.

“Secara keseluruhan sembilan notis dikeluarkan ke atas tiga kediaman tersebut mengikut Seksyen 25 (1) Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan) 2011.

Pegawai CIDB menampalkan notis pemberhentian kerja-kerja pengubahsuaian rumah susulan kontraktor didapati melanggar syarat yang ditetapkan pihaknya.

“Mana-mana individu yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan selepas menerima notis tersebut boleh dikompaun RM10,000 hingga RM100,000,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast