KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dituduh menerima hampir RM7 juta dan RM232 juta semalam melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu.
Beliau telah memaklumkan hasrat tersebut kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Setiuasaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Saya mencadangkan kedudukan saya digantikan dengan individu lain dalam parti Bersatu. Ramai tokoh layak dalam Bersatu boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab tetapi biarlah keputusan itu dibuat oleh kepimpinan atasan parti.
“Keputusan yang saya ambil adalah bersesuaian dengan prinsip intergriti dan semangat perjuangan yang saya junjung selama ini,” kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Wan Saiful berkata, tindakan yang diambil tersebut membezakan beliau dengan pemimpin politik lain yang telah didakwa di mahkamah.
Justeru beliau meminta supaya dirinya tidak disamakan dengan ‘kluster mahkamah terbabit.
“Jawatan Ketua Penerangan adalah jawatan eksekutif dalam parti maka saya melepaskan jawatan eksekutif ini kerana ini adalah pegangan saya yakini selama ini sehingga saya dapat membersihkan nama melalui proses perundangan.
“Jangan sesekali ada mana-mana pihak yang cuba menyamakan saya dengan individu lain dalam kluster mahkamah.
“Saya dengan sukarela melepaskan jawatan berbentuk eksekutif sedangkan mereka menggunakan jawatan eksekutif untuk kepentingan diri sendiri,” dakwanya.
Wan Saiful menegaskan, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak yang cuba terus memburuk-burukkan namanya.
Ketika ini, Wan Saiful masih memegang jawatan sebagai Ahli Kerja Tertinggi Bersatu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu diseret ke mahkamah semalam atas dakwaan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.
Beliau turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.
Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dua bulan sekali.-MalaysiaGazette