KUALA LUMPUR – Tidak seharusnya ada pihak bersangka buruk terhadap tujuan untuk membawa masuk pakar dari agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kementerian akan sentiasa belajar daripada pakar bukan sahaja dari Singapura tetapi negara lain.
“Yang penting kita selalu bersangka baik bukan bersangka buruk. Niatnya adalah suci. Saya kata biar kita miskin harta, jangan miskin minda.
“Negara kita pernah dijajah Jepun tetapi tahun ini ulang tahun ke-41 Dasar Pandang ke Timur. Jika kita boleh belajar dari negara yang menjajah negara kita apa salah kita belajar dari negara jiran ASEAN yang berjaya termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Bagi kita yang penting apakah yang terbaik untuk rakyat,” kata Kor Ming pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu (PN) Shaharizukirnain Abdul Kadir yang meminta kementerian menyatakan rasional untuk membawa masuk pakar HDB.
Menurut Shaharizukirnain, negara mempunyai banyak pakar perancangan bandar yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.
Kor Ming berkata, KPKT sentiasa berusaha dan meneroka inisiatif untuk menambah baik sektor perumahan negara.
Ini termasuk mengadakan sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuan dengan pelbagai agensi dalam dan luar negara.
“Asalkan dia membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Kerajaan Perpaduan akan mengambil sikap tawaduk dan rendah diri untuk belajar tak kira dari mana dan tidak daripada siapa,” katanya.
Kor Ming berkata, sesi libat urus bersama HDB telah dimulakan sejak 2018 melalui lawatan negara jiran itu oleh bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memahami perancangan dan penyediaan perumahan terutamanya dalam perumahan sosial.
Melalui pentadbiran Kerajaan terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan beberapa sesi perkongsian dengan negara luar termasuk Ministry of Land, Infrastructure and Transport (MOLIT) dan Housing dan Urban Guarantee Corporation (HUG), Korea Selatan.
Juga dengan agensi-agensi berkaitan perumahan di Australia dalam aspek mekanisme dan polisi pemajuan perumahan swasta dan akta sewaan kediaman serta dengan HDB.
Sementara itu, menurut Kor Ming, terdapat tiga topik cadangan bagi sesi perkongsian dengan HDB iaitu evolusi perumahan sosial melibatkan polisi dan hala tuju pelaksanaan perumahan sosial.
Pengurusan perumahan sosial melibatkan perancangan
pembangunan, kaedah pelaksanaan, inisiatif bagi kumpulan sasaran khusus, pembiayaan, penyelenggaraan bangunan dan tadbir urus.
Mekanisme pelaksanaan program perumahan sosial melibatkan bagaimana untuk memastikan keperluan dan penyediaan perumahan sosial adalah seimbang, mengurus persepsi awam serta faktor kritikal bagi memastikan kejayaan pelaksanaan perumahan sosial. – MalaysiaGazette