ayam dedak telur
Gambar hiasan

TOKYO – Jepun mengalami kekurangan telur ayam dan lonjakan harga akibat wabak selesema burung dan peningkatan kos makanan serta buruh, lapor Xinhua memetik media tempatan.

Keadaan itu juga menyebabkan harga juadah istimewa dan popular di restoran Jepun turut meningkat.

Sehingga Rabu, harga borong telur bersaiz sederhana di Tokyo ialah 335 yen (AS$2.49) sekilogram, meningkat 81 peratus berbanding setahun lalu, menurut data penjual telur tempatan JA. Z-Tamago.

Harga itu melebihi paras tertinggi sejak 1986 iaitu 280 yen (AS$2.08).

Sejak wabak selesema burung melanda Jepun akhir tahun lalu, penternak ayam telah mengurangkan bilangan ayam telur susulan kenaikan harga makanan yang melambung tinggi sekali gus menyebabkan bekalan telur tidak stabil.

Rangkaian restoran seperti Sukiya, Yoshinoya dan Matsuya telah menaikkan harga produk utama mereka.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan tambahan kepada pengguna dan pembekal tempatan kerana telur biasanya merupakan antara barangan makanan yang harganya paling stabil di Jepun.

Pada Disember lalu, inflasi pengguna Jepun mencecah empat peratus berbanding tahun sebelumnya, paras tertinggi dalam tempoh 41 tahun, disebabkan kenaikan harga tenaga dan makanan yang tinggi.

Kenaikan harga mungkin tidak akan berakhir serta-merta, kata ketua penganalisis di Institut Penyelidikan Ichiyoshi, Seiichiro Samejima.

“Ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan lagi untuk pulih akibat daripada kesan yang dicetuskan oleh selesema burung,” kata Samejima.- BERNAMA