Warga Lynas mengadakan himpunan secara aman di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Lebih 2,000 pekerja kilang memproses nadir bumi Lynas telah mengadakan himpunan aman sebagai tanda protes secara aman di sini bagi membantah sekiranya lesen operasinya dibatalkan kerajaan.

Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza berkata, pekerja Lynas termasuk tenaga pakar terdiri daripada anak tempatan bakal hilang mata pencarian sekiranya larangan pengeluaran sisa radioaktif Lynas selepas Julai ini diteruskan.

Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh dibatalkan jika gagal mematuhi syarat yang melarang pengeluaran sisa radioaktif selepas Julai ini

“Lynas berikrar membantu rakyat Malaysia bagi mendapatkan kepakaran mengendalikan nadir bumi tapi dengan adanya syarat baru pengoperasian dilaksanakan, ia akan ‘membunuh’ kami.

“Kebanyakan kami membina kerjaya di Lynas bermula dari bawah namun kini telah mempunyai kepakaran tahap tinggi dalam industri serta teknologi nadir bumi.

“Perkara ini bukan sahaja menjejaskan pekerja bahagian cracking and leaching tetapi akan melibatkan semua bahagian kerana masing-masing saling berkait,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Aman Lynas  bagi membantah keputusan tersebut di sini hari ini.

Sekiranya ditutup operasi, menurutnya, ia juga akan menjejaskan 830 pekerja tetap, kontraktor, subkontraktor, pekerja kontrak, kilang pembekal dan industri kecil dan sederhana (SME) yang terlibat.

Para pekerja Lynas berhimpun beramai-ramai dan menunjukkan kain rentang semasa himpunan aman di Kuantan hari ini.Bagaimanapun, katanya, mereka kini dalam proses membuat rayuan terhadap keputusan tersebut bagi mempertahankan nasib golongan pekerja.

“Kami merayu kerajaan bersikap adil kerana operasi Lynas selama ini terbukti selamat dan telah membantu meningkatkan ekonomi serta pembangunan kawasan ini.

“Berilah peluang kepada kami bersama kerajaan negeri dan persekutuan untuk membangunkan industri nadir bumi dengan kepakaran anak tempatan,” katanya lagi.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh dibatalkan jika gagal mematuhi syarat yang melarang pengeluaran sisa radioaktif selepas Julai ini. – MalaysiaGazette