Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bercakap kepada media selepas menghantar borang jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengakui beliau tidak mempunyai mana-mana kem untuk bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan 18 Mac depan.

Bekas ahli PKR dan DAP itu memberitahu, beliau hanya bertemu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk meminta pandangan sebelum membuat keputusan bertanding dalam pemilihan parti.

Menurutnya, kini terserah kepada perwakilan untuk memilih calon pemimpin parti untuk membuat perubahan dalam UMNO.

“MKT adalah badan yang penting dalam UMNO yang buat dasar dan bawa hala tuju parti dan ketika ini banyak masalah dalaman UMNO.

“Saya kira orang baharu dan tidak ada kem mana-mana dan perwakilan boleh pilih saya kerana saya bukan lompat parti. Dia yang banyak orang lompat sebab nak cari benda, jawatan dan jadi calon. Saya tidak ada sejarah itu,” ketika ditemui MalaysiaGazette selepas beliau menghantar borang pencalonan jawatan MKT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Mengulas peluang untuk memenangi hati perwakilan UMNO memandangkan sejarahnya pernah meninggalkan parti, Zaid menegaskan, beliau tidak pernah berhenti menjadi ahli UMNO sebaliknya hanya dipecat.

“Itu ramai tak tahu pada 2008 bukan saya buat salah apa dan rasuah. Pandangan saya ketika itu berbeza dengan parti untuk melakukan perubahan dan jika tidak kita akan tewas dan terbukti UMNO tewas.

“Memanglah saya masuk parti PKR dan DAP tetapi hanya untuk mendapat pengalaman dalam politik Malaysia. Apa yang sama dalam parti-parti ini, mereka tidak bersungguh-sungguh untuk buat perubahan dan hanya bercakap banyak.

“Jadi biarlah saya kembali ke dalam UMNO dan usaha sekali lagi untuk buat perubahan sewajarnya,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selepas menghantar borang jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 di di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2023.

Sementara itu, Zaid menyertai UMNO pada 2000 dan memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu pada 2004.

Beliau kemudian dipecat daripada UMNO pada Disember 2008 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO kerana menghadiri majlis pembangkang.

Zaid menghadiri Kongres PKR pada November 2008 sebelum menyertai parti berkenaan dan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor tetapi tewas kepada Barisan Nasional.

Beliau kemudian keluar PKR pada 2010 selepas gagal memenangi jawatan timbalan presiden sebelum menubuhkan parti sendiri, KITA tetapi tidak dilancarkan.

Zaid juga pernah menyertai DAP pada 2017 hingga 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi DAP Kelantan.

Pemilihan MKT UMNO akan diadakan pada 18 Mac ini yang mana tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat bermula pada 13 Februari dan ditutup pada 26 Februari 2023 pukul 5 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast