Israk dan Mikraj Temu Anwar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Selepas 26 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali semula ke Dewan Rakyat untuk membentangkan belanjawan negara.

Anwar yang kini Perdana Menteri ke-10,  kali terakhir membentangkan belanjawan negara pada 27 Oktober 1997. Belanjawan yang dibentangkan adalah untuk kegunaan negara pada 1998.

Pada waktu itu, beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri dan memegang jawatan Menteri Kewangan ketika pentadbiran negara diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar  memakai baju Melayu berwarna biru gelap lengkap bersamping dan bersongkok.

Beliau duduk bersebelahan Mahathir yang kemudian menjadi musuh politiknya setahun kemudian, selepas dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral dan salah guna kuasa.

Sebagai menteri kewangan pada waktu itu, Anwar dikagumi oleh menteri kewangan lain kerana selama enam tahun berturut-turut beliau berjaya membawa Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus setahun.

Pada waktu itu, seperti ketika ini, dunia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi yang turut mendatangkan kesan terhadap Malaysia.

Belanjawan terakhir yang dibentangkannya membawa mesej ‘selamat tinggal zaman kemewahan’.

Kesan daripada penurunan nilai mata wang Thailand pada Julai 1997 merebak ke Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain dengan begitu pantas dan tidak memberikan mereka peluang untuk mempertahankan diri daripada serangan spekulator mata wang yang menyusul selepas itu.

Serangan itu menyebabkan nilai ringgit jatuh lebih daripada 20 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dan menyebabkan kejatuhan lebih serius kepada Bursa Saham Kuala Lumpur.

Malaysia dan rakyatnya “miskin” sekurang-kurangnya 20 peratus dan kadar kemajuan negara melangkah 10 tahun ke belakang.

Jabatan-jabatan kerajaan tidak lagi dibenarkan menganjurkan majlis dan seminar di hotel-hotel mewah sebaliknya mereka diarahkan mengadakan majlis sedemikian di dewan-dewan persidangan milik kerajaan.

Kerajaan hanya menyediakan kereta Proton Perdana kepada beberapa ratus kakitangan kanan awam yang sebelum ini dibekalkan dengan kereta Mercedes Benz dengan pemandu peribadi.

Media pada waktu itu melaporkan, Anwar yakin belanjawan yang akan beliau bentangkan pada 1997 itu dapat mengukuhkan kembali ekonomi negara di samping mengukuhkan kembali nilai mata wang yang susut.

Bagaimana pada tahun 1998, Mahathir memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan ‘menghumban’ beliau ke dalam penjara dan menjadi ahli politik pembangkang selama berpuluh tahun.

Kini selepas 26 tahun berlalu, Anwar kembali membentangkan belanjawan. Beliau kini bukan lagi Timbalan Perdana Menteri tetapi sebaliknya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Sudah tentu ramai yang akan menunggu di depan televisyen dan gajet masing-masing menunggu ‘ubat mujarab’ yang akan ditawar beliau kepada negara.

Himpitan ekonomi hingga memaksa kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah berharga RM5 sepinggan termasuk air membuktikan bahawa negara memerlukan kepimpinan ekonomi yang bijak, strategis dan tegas.

Ramai yang menanti sentuhan Anwar yang pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia dan Asia oleh majalah asing antarabangsa.

Apakah Anwar akan memakai baju Melayu semasa membentangkan belanjawan pukul 4 petang ini? Apakah warna baju yang akan dipakai beliau?

Apakah perkataan dan istilah rumit yang tidak biasa didengar yang akan beliau selitkan untuk mewarnai ucapan belanjawan petang ini yang menjadi identiti Anwar dalam pembentangan belanjawan sebelum ini.

Yang lebih penting apakah yang akan diperolehi oleh rakyat terbanyak sama ada secara langsung atau tidak dalam meringankan beban mereka di tengah-tengah himpitan harga barangan yang melambung tinggi.

Kita tunggu petang ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast