Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA , 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

Sementara menunggu pindaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

Katanya, setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan, majoritinya Melayu yang mempunyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan 130,000 rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaannya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat yang menyediakan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later perlu dikawal bagi melindungi hak pengguna.

Bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan, kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit yang dijangka dibentangkan pada tahun ini.

Selain itu, beliau berkata, katanya, golongan banduan juga wajar mendapat peluang kedua.

Bagi kepentingan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate (kemahiran bagi banduan).

Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi perlindungan dan pemulihan JKM dan layak mendapat potongan cukai tambahan.

Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast