Suasana sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman kembali menjadi lokasi tumpuan warga kota ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Permintaan domestik diunjur berkembang sebanyak 5.4% pada tahun 2023 walaupun berhadapan dengan jangkaan persekitaran global tang mencabar.

Pertumbuhan ini dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang dijangka berkembang 6.1%.

Sementara perbelanjaan sektor awam diunjur meningkat 2.5%.

Menurut Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 Terkini, penambahbaikan pasaran buruh yang berterusan serta peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial terutamanya aktiviti berkaitan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan China dijangka menyokong penggunaan swasta sebanyak 6.1%.

Unjuran perbelanjaan pengguna menyederhana disebabkan peningkatan yang semakin perlahan berikutan pengurangan impak pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta kesan tertangguh kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Bagaimanapun, usaha berterusan kerajaan membendung inflasi, pemberian Sumbangan Tunai Rahmah untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) serta bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam dan RM350 kepada pesara kerajaan pada bulan Januari 2023 dapat menyokong pendapatan boleh guna isi rumah dan merangsang perbelanjawaan swasta.

Pelaburan swasta dijangka meningkat sebanyak 5.8% terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan didorong oleh usaha kerajaan untuk meningkatkan tadbir urus yang baik.

Perbelanjaan modal sektor awam terus menjadi pelengkap kepada pelaburan sektor swasta.

Projek utama yang dijangka bermula pada tahun ini ialah projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2.

Penerusan projek berskala besar seperti LRT3, ECRL dan RTS akan merancakkan pelaburan awam.

Keseluruhan pelaburan awam dijangka meningkat sebanyak 7% pada tahun 2023 dan penggunaan awam dijangka berkembang 1% berikutan perbelanjaan lebih tinggi bagi emolumen disebabkan Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas untuk kakitangan awam.

Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang menyederhana, pendapatan negara kasar (PNK) pada harga semasa dijangka berkembang sebanyak 5.8% pada tahun 2023.

Tabung Negara Kasar (TNK) dan jumlah pelaburan dijangka mencatat 25.4% dan 22.4% daripada PNK.

Jurang tabungan pelaburan dijangka terus mencatat lebihan sebanyak RM55.2 bilion atau 3% daripada PNK yang membolegkan negara membiayai pelaburan terutama daripada sumber domestik. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast