Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun beberapa pertubuhan telah meminta supaya kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi pakar ekonomi berpendapat langkah itu tidak harus diambil.

Pakar ekonomi, L.L. Kong sebaliknya berpendapat, penyediaan subsidi bersasar dan bantuan merupakan cara untuk membantu mereka yang betul-betul memerlukan.

Katanya, dengan keadaan lebih separuh ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 caruman, pengeluaran wang simpanan tidak harus dibenarkan.

“Mereka yang hilang kemampuan untuk bekerja dan tidak dapat menyara diri akan menjadi beban masyarakat jika mereka tiada simpanan.

“Pengeluaran caruman juga akan menyebabkan peluang KWSP untuk melabur menjadi kurang dan hasil badan ini juga akan berkurangan,” katanya kepada China Press.

Kong berkata, kerajaan tidak boleh membenarkan semua golongan miskin tegar untuk mengeluarkan simpanan, tetapi perlu menyediakan subsidi bersasar kepada mereka.

“Kesemua 222 Ahli Parlimen perlu bertanggungjawab untuk mengenal pasti pengundi manakah yang miskin tegar dan berdepan masalah,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa sesetengah kumpulan M40 telah turun menjadi B40 susulan kenaikan harga barang yang menyebabkan wang boleh belanja mereka menurun.

Katanya, selain menyediakan Menu Rahmah, kerajaan juga perlu mengawal harga barang dan menyusun semula subsidi secara makro.

“Kerajaan harus mencontohi Singapura dalam menyediakan subsidi bersasar dan bukan menyediakan subsidi petrol dan makanan secara umum.

“Hakikatnya, golongan miskin tegar tidak semestinya memiliki kereta atau biasa makan di luar,” katanya.

Kong turut menegaskan keperluan pangkalan data yang lebih tepat dan bukannya kajian yang umum dalam melaksanakan subsidi bersasar. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.