Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyaksikan penyerahan tongkat kuasa jawatan Ketua Polis Selangor oleh Pemangkunya, Datuk Sasikala Devi Subramaniam (kiri) kepada Ketua Polis Polis Selangor baharu, Datuk Hussein Omar Khan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor dan Pengerusi Perkep Kontinjen Selangor di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mahu semua pegawai kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengelakkan daripada amalan budaya berpuak ‘my men’ (orang saya) dalam pasukan pentadbirannya.

Ketua Polis Negara itu menegaskan, budaya puak atau kem di dalam pasukan polis tidak harus dibiarkan belaku.

Sebaliknya semua pegawai kanan dan anggota harus dilayan secara saksama sebagai satu pasukan yang efisien tanpa membenarkan sebarang bentuk diskriminasi budaya  berpuak.

“Saya ingin memberi pesanan kepada semua ketua polis negeri, anggaplah semua ketua polis daerah, anggota yang berada di bawah seliaan anda, sebagai satu pasukan..tiada ‘my men and your men‘ (orang saya, orang awak).

“Selagi mereka mengenakan seragam biru polis, selagi itulah mereka tergolong di bawah kempimpinan orang itu, tidak ada unsur “anak emas”, anak perak..kita semua adalah pegawai dan anggota sepasukan dalam PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor dan Pemakaian Pangkat Komisioner Polis Kontinjen Selangor antara Pemangku Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramanima dan Komisioner Datuk Hussein Omar Khan di Maktab Polis Diraja Malaysia sebentar tadi.

Beliau juga mengulangi pendirian bahawa tiada juga istilah “orang IGP, orang Ketua Polis negeri.

”Semua adalah orang saya dan saya wakilkan semua ketua polis negeri untuk membimbing dan mentadbir mereka,” ujarnya.

Tambahnya, tiada yang lebih utama baginya selain setiap anggota PDRM bersatu hati memikul tanggungjawab yang diberikan demi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan negara.

Sambil tidak menolak kemungkinan budaya berpuak berlaku dalam polis, juga di mana-mana organisasi lain.

“Apa yang saya ingin kata bahawa ini merupakan satu sindrom ataupun amalan yang kita selalu dengar bahawa beliau ini adalah orang tertentu, orang tentu.

“Jadi dalam pasukan polis, budaya seperti ini tidak boleh berlaku dan tidak boleh dibenarkan berlaku dalam PDRM kerana setiap individu dalam organisasi merupakan satu unit yang bersepadu dan kita tidak boleh diskriminasi, tidak boleh mengenal pasti seseorang ini, orang tertentu dan seumpamanya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette