Pemandangan TRX pada waktu malam yang menampakkan bakal bangunan pencakar langit yang tertinggi di Malaysia, Menara Exchange 106 yang giat dibangunkan di Tun Razak Exchange (TRX) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Dua projek di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mendapat perhatian dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Kesepuluh hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memandatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia.

Katanya, TRX perlu berusaha menarik industri kewangan global supaya berupaya menjadi destinasi utama pelaburan asing berkualiti tinggi yang boleh memperkukuhkan ekosistem perniagaan di Malaysia.

Selain TRX, satu lagi projek di bawah pentadbiran Najib yang turut mendapat perhatian kerajaan dalam Belanjawan 2023 adalah Iskandar Malaysia.

Menurut Anwar kerajaan bercadang memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan.

Jelas beliau, Iskandar Malaysia akan menawarkan pakej imbuhan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia.

Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani, kerajaan pimpinan Anwar komited untuk merangsang pelaburan dalam pelbagai sektor utama.

Sehubungan itu, bagi mendukung dan menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong, kerajaan bercadang untuk membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang.

“Cadangan pembesaran itu akan diterajui MAHB dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos yang jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim, Kedah yang dianggarkan RM7 bilion,” katanya.- MalaysiaGazette