KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tampil mengkritik Belanjawan 2023 kerana Perdana Menteri tidak menyentuh peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen pembangkang.

Sambil memberikan contoh dengan tidak memberikan peruntukan CDF umpama taktik yang pernah diguna untuk ‘menggoda’ wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti.

“Sebenarnya taktik seperti ini menekan pembangkang tidak berkesan setiap masa kerana Pakatan Harapan tetap cemerlang sebagai pembangkang dulu malah memenangi PRU14 tanpa sebarang peruntukan CDF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata BERSIH, tindakan itu juga bertentangan dengan prinsip Malaysia Madani diperjuangkan Kerajaan Perpaduan yang menjadi sebutan Datuk Seri Anwar Ibrahim terutamanya dalam aspek pelaksanaan reformasi.

“Kerajaan dan pembangkang sepatutnya perlu duduk bersama dan berunding untuk membawa undang-undang yang akan memastikan peruntukan yang saksama.

“Perikatan Nasional (PN) dengan 74 ahli Parlimen mewakili 4,666,529 pengundi atau 30 peratus daripada jumlah pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Menahan CDF ini adalah tidak menghormati pilihan dan hak pengundi untuk mengundi siapa yang mereka ingin mewakili mereka,” ujarnya.

Tambahnya, peruntukan itu amat diperlukan bagi memberikan khidmat kepada kawasan Parlimen mereka dengan lebih efisien termasuk menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan Persekutuan atau negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast