Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seorang lelaki warga asing yang dikatakan mencabul seorang polis wanita semasa membeli kuih di Taman Melawati baru-baru ini telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku di Medan Selera Cengkih, di AU5, Lembah Keramat.

Katanya, semasa kejadian, pengadu berumur 30 tahun yang bertugas Balai Polis Hulu Kelang berdiri di bahagian meja untuk memilih kuih sebelum seorang lelaki warga Indonesia yang berada di belakangnya telah meraba punggungnya menggunakan tangan sebelah kiri dari arah belakang.

“Pengadu yang terkejut dan berang dengan perbuatan tidak senonoh lelaki itu tetapi suspek bukan sahaja enggan mengaku perbuatan malah dia terus menyalahkan mangsa kerana berdiri di kawasan sempit sebelah meja makan sambil memberitahu dia sedang bersarapan bersama isteri ketika itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas laporan, pada hari sama pihaknya telah menahan suspek yang merupakan seorang pemandu teksi berusia 58 tahun.

“Suspek telah dihadapkan di Mahkamah Ampang pada Khamis lalu dan berjaya direman selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Februari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan suspek akan dihadapkan semula ke mahkamah untuk permohonan sambung reman bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. – MalaysiaGazette