Sebahagian waris mangsa terkorban tragedi tanah runtuh Batang kali 16 Disember lalu menuntut kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat tragedi itu secara telus kerana membabitkan 92 nyawa yang terkorban di Pejabat Khidmat Parlimen DAP Kepong, di Metro Prima, Kepong hari ini.

KUALA LUMPUR – Para keluarga mangsa terkorban bencana tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali, Hulu Selangor pada  16 Disember lalu mendesak pihak berkuasa agar segera mendedahkan hasil laporan siasatan insiden tersebut.

Malah mereka juga mahu kerajaan bertindak segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi yang mengorbankan seramai 92 orang mangsa termasuk 13 kanak-kanak itu.

Loh Teng Shui yang merupakan waris kepada salah seorang mangsa berkata, kesemua keluarga mangsa mahu mengetahui kebenaran di sebalik insiden tanah runtuh itu.

“Kami berada di sini bukan untuk tuduh menuduh mana-mana pihak dalam soal ini, sebab bencana sudah pun berlaku tetapi kebenaran perlu ditegakkan dan kami selaku keluarga terjejas berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Setakat ini, kami tidak mempunyai sebarang akses atau rangkaian teratur untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan serta tindakan pihak berkuasa polis mengenai insiden tanah runtuh itu.

“Kami menuntut akauntabiliti dan ketelusan dalam siasatan ini dan apa yang mengejutkan adalah laporan berita telah mengeluarkan maklumat bahawa kawasan tanah runtuh itu merupakan no-go area dan jika benar bagaimana kawasan itu boleh dibenarkan untuk aktiviti perkhemahan tanpa menyedari risiko yang menanti?” soalnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Pusat Khidmat DAP Parlimen Kepong di Metro Prima hari ini.

Justeru, Teng Shui juga mahu pihak berkuasa mendedahkan apa sebenarnya telah berlaku di sebalik pengoperasian kawasan tanah runtuh itu selama ini.

Walaupun semua pihak menganggap bencana berkenaan adalah semulajadi, mereka khuatir terdapat faktor lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar menyumbang kepada insiden itu.

“Justeru polis juga menegaskan laporan siasatan insiden itu berada di peringkat akhir dan 90 peratus siap setakat akhir Januari lalu dan kami mahu laporan itu segera dilengkapkan dan tindakan segera perlu diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

“Pada masa yang sama kerajaan juga perlu segera menubuhkan satu RCI bagi membolehkan satu siasatan mendalam dan bebas dilakukan mengenai insiden Batang Kali itu dan diharap kerajaan Madani Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar suara dan rayuan kami ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette