Azalina UMNO
Azalina Othman Said berucap pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KEPUTUSAN Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ramai yang menjangka beliau akan berbuat demikian dalam pemilihan parti kali ini.

Setelah mengharungi perjalanan politik yang panjang dalam kepimpinan UMNO di peringkat pusat, kini sudah tiba masanya beliau yang kini menyandang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) naik setingkat lagi dalam hierarki parti.

Setakat ini, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) merupakan calon wanita tunggal dalam persaingan jawatan ketiga tertinggi dalam UMNO.

Beliau bakal berdepan penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan kemungkinan besar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pemimpin-pemimpin UMNO lain yang telah menghantar borang pencalonan untuk jawatan Naib Presiden ialah Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Hasni Mohamad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Melihat kepada nama-nama besar yang menawarkan diri, laluan Azalina untuk mengisi salah satu daripada tiga kerusi Naib Presiden UMNO dijangka tidak mudah.

Penyandang-penyandang jawatan iaitu Mohamed Khaled, Mahdzir dan Ismail Sabri mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk memancing sokongan perwakilan bahagian pada hari pemilihan nanti.

Begitu juga dengan Zambry, Reezal Merican, Hasni, Wan Rosdy dan Johari yang juga mengidamkan kerusi Naib Presiden setelah sekian lama menimba pengalaman di peringkat MKT.

Namun, selaku satu-satunya calon wanita, Azalina mempunyai kelebihan tersendiri di mana beliau dilihat berupaya menarik sokongan daripada perwakilan Wanita dan Puteri.

Walaupun UMNO telah membuka ruang yang besar kepada kaum wanita untuk bersama-sama menyumbang dalam kepimpinan di semua peringkat, pucuk pimpinan parti itu khususnya di pusat masih lagi didominasi oleh kaum lelaki.

Secara keseluruhan, hanya tujuh daripada 43 Ahli MKT UMNO bagi penggal lalu adalah wanita dan jumlah itu hanya menyamai 16 peratus sahaja.

Sudah tentu Wanita UMNO yang selama ini memainkan peranan penting dalam gerak kerja akar umbi mahu mengubah situasi itu dan Azalina merupakan sandaran mereka untuk menjayakan objektif tersebut.

Begitu juga dengan Puteri UMNO yang boleh tumpang berbangga sekiranya bekas ketua mereka dipilih sebagai Naib Presiden UMNO sekali gus melonjakkan reputasi sayap itu sebagai ‘kilang’ yang melahirkan kepimpinan wanita dalam parti sehingga ke peringkat tertinggi.

Azalina juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang setia dengan pucuk pimpinan tertinggi dan kesetiaan itu telah dibuktikan sejak dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak sehingga Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kesetiaan yang dimiliki beliau itu merupakan aset paling berharga untuk UMNO yang ketika ini masih terumbang-ambing selepas dilanda gelora yang ganas selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan memerlukan barisan kepimpinan baharu yang bersedia memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam usaha memulihkan parti dan Azalina merupakan antara pemimpin yang dilihat memenuhi kriteria itu.

Sama ada Azalina akan memecahkan tradisi sebagai wanita yang pertama menjadi Naib Presiden UMNO, ia bakal ditentukan perwakilan bahagian yang akan membuat keputusan pada 18 Mac ini. – MalaysiaGazette