Muhammad Azeem Mohd Fahmi

KUALA LUMPUR – Pelari pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menamatkan saingan musim dalam dewan di tempat keempat pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC, semalam.

Pada aksi final di Trek Tertutup Tyson di Fayetteville, Amerika Syarikat itu menyaksikan penuntut tahun pertama Universiti Auburn itu merekodkan catatan 6.70 saat (s), manakala rakan sepasukannya, Favor Ashe yang merekodkan 6.52s menjuarai saingan tersebut.

Sementara, Jordan Anthony dari Kentucky (6.57s) dan Godson Oghenerbrume dari Louisiana (6.64s), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Catatan itu menyaksikan Muhammad Azeem tidak berjaya meneruskan rentak cemerlang memperbaharui rekod 60m dalam dewan buat kali ketiga berturut-turut, selepas atlet kelahiran Ipoh, Perak itu memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 6.63s pada Kejohanan Terbuka Texas Tech & Multi di Texas, hujung bulan lepas.

Catatan berkenaan membolehkan dia mengatasi rekod yang disandang Watson Nyambek selama 24 tahun, iaitu 6.66s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Pelari pecut berusia 18 tahun itu kemudian terus cemerlang apabila memperbaiki catatan berkenaan dengan merekodkan 6.62s ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final acara 60m di Kejohanan Tiger Paw Invitational di  University Clemson di South Carolina pada 11 Feb lepas.

Muhammad Azeem akan meneruskan saingan di Amerika Syarikat dengan menyertai Kejohanan Trek dan Padang yang akan membuka tirai Mei ini. – BERNAMA