Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan dengan dengan indeks penanda aras bergerak dalam jajaran sempit antara 1,450 dan 1,470 dalam persekitaran faktor luaran yang lemah, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, peningkatan risiko geopolitik berikutan laporan bahawa China sedang bersedia untuk meningkatkan sokongannya terhadap Rusia akan mempengaruhi sentimen risiko serantau apabila pelabur beralih ke perdagangan selamat.

“Justeru, pasaran saham tempatan bukan sahaja bersaing dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang cenderung menaikkan kadar faedah untuk memacu hasil AS bagaimanapun pada masa yang sama risiko geopolitik meningkat,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata indeks inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi AS yang dikeluarkan lewat Jumaat akan menjadi tumpuan utama.

“Jika ia melebihi jangkaan, kita boleh jangkakan bahawa penjualan saham tempatan lpada awal minggu depan disebabkan oleh jangkaan hasil AS yang lebih tinggi. Pada pandangan yang positif, penurunan sentimen boleh mendapat sokongan daripada data Indeks Pengurus Pembelian China dijangka dikeluarkan pada 28 Februari depan.

“Susulan lonjakan dalam mobiliti di China, data tersebut dijangka kukuh dan memberi keredaan kepada sentimen tempatan. Justeru, banyak perkara perlu diberi tumpuan minggu depan,” katanya.

Selain itu, berdasarkan ketidaktentuan dalam beberapa aspek, Innes berkata pelabur keberatan untuk menambah risiko dan menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguji semula tahap psikologi 1,500 sekali lagi.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia menyaksikan dagangan berhati-hati kerana pelabur tidak memasuki pasaran kerana menunggu pengumuman Belanjawan 2023 yang disemak pada Jumaat.

“Di Malaysia, perbelanjaan dikecilkan dalam Belanjawan 2023 dan ia diterima secara negatif oleh saham tempatan hari ini tetapi saya berpendapat China harus diberi tumpuan minggu depan,” kata Innes.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan data Indeks Harga Pengguna. Pertumbuhan harga keseluruhan di Malaysia menyederhana kepada paras terendah tujuh bulan dengan kadar inflasi utama turun kepada 3.7 peratus tahun ke tahun, paras terendah sejak Julai 2022 dan seiring dengan anggaran pasaran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 2.31 mata untuk ditutup pada 1,476.90.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 115.72 mata kepada 10,626.44, Indeks FBMT 100 berkurangan 112.42 mata kepada 10,297.82, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 171.89 mata kepada 10,930.59.

Selain itu, Indeks FBM 70 merosot 20.22 mata kepada 13,505.21 dan Indeks FBM ACE turun 99.61 mata kepada 5,560.02.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 45.35 mata kepada 6,792.33, Indeks Tenaga mengukuh 7.0 mata kepada 890.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 14.39 mata kepada 16,021.83 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 10.86 mata kepada 179.66.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.79 bilion unit bernilai RM10.89 bilion berbanding 18.22 bilion unit bernilai RM10.88 bilion pada Jumaat, minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menguncup kepada 10.35 bilion saham bernilai RM9.02 bllion daripada 11.54 bilion saham bernilai RM8.79 bilion seminggu lepas.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.90 bilion unit bernilai RM297.03 juta daripada 1.93 bilion unit bernilai RM265.51 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 4.16 bilion saham bernilai RM1.56 bilion daripada 4.74 bilion saham bernilai RM1.82 bilion sebelumnya.  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast