Gambar ihsan PDRM Kuantan

KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan dalam Op Bersepadu Luaran Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan, malam tadi.

Ketua Polis Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pelajar itu ditahan mengikut Seksyen 108 (3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana motosikal ditunggangnya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Selain itu, seorang remaja berusia 19 tahun juga ditahan dalam operasi tersebut mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam Op Bersepadu tersebut, sebanyak 202 helai saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikeluarkan membabitkan kesalahan lesen (33), Lesen Kenderaan Motor (LKM) (9), Insuran (7), Nombor plat (42), Cermin Sisi (25), Ekzos (24), Bawah Umur (3), tidak memakai topi keledar (21),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Zahari berkata, operasi yang terbahagi kepada tiga fasa utama itu membabitkan 33 anggota termasuk lima orang pegawai kanan polis, 15 anggota PVR, enam anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, dalam operasi bermula pada jam 5 petang itu, JPJ juga telah memeriksa 171 buah kenderaan membabitkan 150 buah motosikal serta 21 kereta dan mengeluarkan 30 notis saman kerana pelbagai kesalahan.

“Selain itu, JAS juga mengeluarkan 12 notis saman daripada 33 buah kenderaan yang diperiksa ekoran kesalahan ekzos bising serta kompaun kepada 11 kenderaan,” ujarnya.

Tambahnya, operasi yang ditamatkan pada jam 6 pagi tadi berjalan lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku – MalaysiaGazette