Makanan yang terdapat pada mesin layan diri adalah inisiatif INSAN di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR). Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2023.

AMPANG – Kerajaan menyasarkan seramai 100,000 bilangan peserta daripada isi rumah miskin tegar dalam kelompok B40, untuk menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, program ini berupaya membantu golongan terbabit menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Beliau berkata, sasaran itu berdasarkan kajian yang dilaksanakan pihaknya berasaskan garis kemiskinan tegar yang ditetapkan pada kadar RM1,900 sebulan.

IPR membabitkan tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

“IPR ini bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk menjana pendapatan membabitkan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

“Kita sudah menjalankan ‘modeling’ awal, jika melihat kepada tiga model tadi, usahawan tani, mungkin mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapat pendapatan.

“Jadi, kita sudah mengambil kira bantuan untuk tempoh pemantauan 24 bulan termasuk penyediaan tapak, infrastruktur, latihan dan sebagainya termasuk elaun bulanan sementara hasil tuaian itu berlaku.

“Sama juga dengan INSAN, penjualan makanan melalui mesin vending, juadah itu dijual dalam RM2 sahaja kerana ia membantu orang ramai, menurunkan harga makanan.

“IKHSAN, operator kawal selia kemudahan kerajaan seperti tandas awam, pejabat dan sebagainya, akan mendapat pendapatan dari dua sumber iaitu kutipan harian orang ramai bayar untuk masuk tandas atau kelengkapan kemudahan lain tetapi jika tidak mencukupi, kerajaan akan tambah supaya pendapatan bulanan mereka menjadi RM2,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran IPR di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

INTAN adalah inisiatif untuk merekrut golongan sasar yang berminat dalam pertanian dengan memilih hasil tanaman yang tinggi dalam jumlah import seperti cili, halia dan jagung.

INSAN pula menyasar peserta menjual makanan umum pada harga rendah, menerusi perniagaan mesin vending yang mampu meningkatkan jualan melalui penambahan lokasi tumpuan.

Manakala, IKHSAN merekrut golongan sasar yang berminat untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan, sekali gus mampu mengatasi masalah kekurangan buruh bagi menyelenggara beberapa kemudahan awam.

Rafizi berkata, kerajaan menyasar penyertaan 100,000 peserta dari isi rumah miskin tegas dan B40 menyertai IPR tahun ini.- MalaysiaGazette