KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menghantar surat tuntutan (Letter of Demand) kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan mengeluarkan tuduhan tidak berasas.
Menurut kenyataan Komunikasi BN, surat berkenaan menuntut Muhyddin dan Azmin menarik balik kenyataan mereka dan membuat permohonan secara terbuka dalam masa yang sama membayar pampasan ganti rugi kerana mengeluarkan fitnah berkenaan.
Tambah kenyataan tersebut, tuduhan mengatakan Pengerusi parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalang dan perancang kepada pertuduhan ke atas bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini merupakan fitnah besar yang perlu dihentikan.
“Hari ini, satu surat tuntutan (Letter of Demand) telah dihantar oleh pihak guaman kepada penama Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali sebagai tindak balas daripada
tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan.
“Fintah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan untuk menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang telah dilakukan,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, Ahmad Zahid tidak pernah menyalagunakan jawatan dan kedudukan untuk mengheret pemimpin PN ke mahkamah.
“Fokus Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa,” menurutnya.
Malah kata kenyataan itu, tuduhan berkenaan jelas disengajakan untuk menutup kerosakan PN.
“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan bahawa kedua-dua individu utama dalam parti PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.
“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah yang biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri,” tambahnya.
Wan Saiful berdepan dua pertuduhan rasuah melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). – MalaysiaGazette