GEORGE TOWN – “Kaki kanan isteri saya terpaksa dipotong akibat kejadian dilanggar jentera forklift,”.

Demikian kata Marzuki Omar, 68, suami kepada Jami @Jumi Shariff, 75, mangsa langgar forklift di Kompleks MASKargo di sini, hari ini.

Menurut pesara itu, isterinya kini sedang menjalani pembedahan potong kaki kanan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Doktor beritahu keadaan kaki isteri saya parah menyebabkan mereka terpaksa mengambil pilihan untuk memotong kaki hingga ke paras betis.

“Bagaimanapun, hanya sebelah kaki saja dimaklumkan akan potong setakat ini dan saya masih menunggu di ruang luar bilik bedah untuk maklumat lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Marzuki, dia sempat bertemu dengan isterinya petang tadi sebelum wanita warga emas itu dibawa ke bilik bedah.

“Tiada apa dia (isteri) ungkapkan kepada saya kecuali mahukan air tapi saya minta dia bersabar dengan ujian yang dihadapi.

“Kami redha dengan apa yang terjadi tetapi saya tidak tahu bagaimana kehidupan kami selepas ini memandangkan hanya kami berdua menetap di Balik Pulau di sini, manakala anak menetap di Kedah,” ujarnya.

Mengulas lanjut Marzuki, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa isterinya pada jam 1.30 tengah hari.

“Saya menunggu untuk mengambilnya pulang dari kerja pada jam 12 tengah hari yang mana itu menjadi rutin saya sejak pencen.

“Tetapi dia tidak kunjung tiba membuatkan saya pulang semula ke rumah untuk menelefonnya namun saya dikejutkan dengan panggilan daripada kakitangan Kompleks berkenaan memaklumkan isteri saya terlibat dalam kemalangan sebelum bergegas ke HPP,” ceritanya dalam nada sebak.-MalaysiaGazette

Kaki tukang cuci hancur dilanggar forklift

1 Komen

  1. jangan potong lagi . cari bomoh dulu ikhtiar . mungkin sekarang masih ada orang lama yang masih hidup yang boleh menolong .

Comments are closed.