KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO yang mengadakan mesyuarat pertama hari ini menggariskan empat peranan utama yang dimainkan oleh badan berkenaan.
Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, peranan pertama adalah menasihati parti bagi merealisasikan asas dan tujuan sebagaimana Fasal 3 dan ceraian 3.1 Perlembagaan UMNO.
“Iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn di sini.
Beliau menambah, peranan kedua adalah mendidik dan mentarbiah ahli parti supaya selaras dengan asas dan tujuan parti seterusnya beristiqamah dengan Islam agar menjadi Muslim bertakwa serta warganegara yang baik.
Bagi peranan ketiga, Mohd. Khairuddin memberitahu, Majlis Ulama UMNO akan menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.
“Peranan keempat, menangani isu semasa melibatkan kepentingan umat Islam di dalam dan luar negara serta membimbing umat untuk sentiasa istiqamah dengan Islam dan menjadi warganegara yang baik,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut meluluskan 30 Mercu Tanda Majlis Ulama UMNO (Fasa Permulaan 2023-2024) untuk dilaksanakan.
Mohd. Khairuddin berkata, Mercu Tanda adalah perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang yang memberikan impak kepada parti serta rakyat.
Menurut beliau, tiga daripada Mercu Tanda tersebut adalah program Halaqah, Sidang Muzakarah Meja Bulat Majlis Ulama UMNO dan menyemarakkan peranan Pusat Islam Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan menjadikan Surau Ar-Rahman sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala.
“Perincian mercu tanda yang lain akan dimaklumkan kepada ahli parti dan umum dari semasa ke semasa,” katanya.
Mohd. Khairuddin turut menjelaskan tentang struktur rasmi Majlis Ulama UMNO yang terbahagi kepada tiga iaitu Anggota Tertinggi, Panel Muzakarah dan Anggota.
Beliau memberitahu, Anggota Tertinggi terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Eksekutif, tidak lebih daripada 10 anggota dan pengerusi-pengerusi biro agama UMNO negeri dan wilayah.
“Panel Muzakarah terdiri daripada ulama dan ilmuwan Islam daripada dalam dan luar parti yang dilantik oleh Majlis Ulama UMNO.
“Anggota Majlis Ulama UMNO pula terbuka keanggotaannya kepada lepasan Pengajian Islam dari institut pengajian tinggi atau institut pengajian tradisional Islam atau tokoh yang diperakui keilmuannya dalam pengajian Islam,” katanya. – MalaysiaGazette