Sejarah SPM
Salah seorang pelajar yang didakwa menggunakan kata-kata kesat untuk meluahkan perasaan puas hati terhadap soalan dalam kertas Sejarah SPM. (Gambar: Tangkap layar video tular dalam media sosial)

KUALA LUMPUR – MCA yang memandang serius tindakan keras terhadap dua pelajar yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kertas sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini mempersoalkan siapa yang menyuruh guru berkenaan membuat laporan kepada polis.

Adakah ia dibuat atas arahan pengetua sekolah atau laporan itu dibuat oleh guru berkenaan atas sebab-sebab peribadi.

Malah, MCA turut mempertikaikan adakah sekolah mempunyai prosedur standard operasi (SOP) dalam membuat laporan polis terhadap para pelajar..

Jurucakap Belia MCA, Ryan Ho Kwok Xheng berkata, parti itu prihatin terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyerbu kediaman dan menahan mereka.

”Adakah remaja lelaki ini perompak bersenjata, memperdagang manusia, pengganas radikal, penipu dalam talian, penyeludup, penculi dan pembunuh sehingga memerlukan tindakan drastik sedemikian,” soalnya.

Tegasnya, tindakan berkenaan tidak selari dengan Tawaran Harapan PRU15 yang komited untuk menjamin kebebasan media dan hak bersuara dalam memastikan keadilan dapat diperjuangkan secara kolektif.

Ryan turut mengingatkan bahawa Tawaran Harapan PRU15 juga berjanji untuk memansuhkan peruntukan akta yang boleh disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia – dua akta yang membawa kedua-dua pelajar terbabit dalam tahanan.

Dalam kenyatannya hari ini, Ryan berkata, pelajar mana yang tidak pernah langsung merungut tentang guru mereka dan peperiksaan yang perlu diambil.

”Jika setiap orang di bawah umur atau dewasa muda atau mana-mana individu bekerja atau warga emas bersara akan ditangkap kerana menyatakan rasa tidak puas hati melalui media sosial mengenai isu yang mereka rasa sesuai untuk ditentang atau merasa terkilan, atau penonton sukan mencemuh lawan mereka, lokap kita akan dilimpahi dengan “suspek” yang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta di bawah Akta Kesalahan Kecil ‘menghina tingkah laku,” kata beliau.

Sehubungan itu, MCA mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil memberi justifikasi mengapa kewajaran PDRM menangani golongan muda sebagai penjenayah tegar, sekali gus bercanggah dengan manifesto Harapan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu menjelaskan pendirian mereka berhubung kes ini.

MCA juga mempersoalkan apakah bentuk kaunseling yang akan diberikan kepada dua orang remaja dan kepada guru yang membuat laporan polis itu. – MalaysiaGazette