KUCHING – Hujan berterusan sejak dua hari lepas telah memaksa 17 mangsa banjir daripada tujuh keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Bau, dekat sini, awal pagi ini.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, PPS Dewan Tanjung Batu, Tasik Biru dibuka jam 6.40 pagi bagi menempatkan 13 mangsa daripada enam keluarga setelah kediaman mereka dinaiki air.
PPS Balai Raya Kampung Opar pula dibuka pada 7 pagi bagi menempatkan empat lagi mangsa daripada sebuah keluarga.
JPBN Sarawak turut melaporkan trend paras air meningkat di 29 kawasan pemantauan di daerah Selangau dekat Sibu. – Bernama