Adam Radlan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. 

Adam Radlan yang juga seorang ahli perniagaan berdepan dengan pertuduhan kelima dalam tempoh kurang daripada lapan hari berkaitan projek yang sama.

Ketika pertuduhan terbaru itu dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, Adam Radlan mengangguk dan mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

“Saya faham dan mohon dibicarakan,” katanya.

Pada 22 Februari lepas, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan ialah hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.

Sebelum ini juga tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.

Sehari sebelum itu, ahli perniagaan terbabit membuat pengakuan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan iaitu wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh.

Adam Radlan juga didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi projek membina jalan terbabit secara rundingan terus bernilai RM47.8 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast