Enam individu termasuk empat penjawat awam direman SPRM di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Enam individu termasuk empat penjawat awam ditahan reman bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sejak tujuh tahun lalu.

Mereka yang terdiri daripada penguatkuasa agensi di laut itu dikatakan meminta rasuah agar tiada tindakan undang-undang diambil ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Perintah reman selama lima hari sehingga 4 Mac ini dikeluarkan Majistret Azlan Basri selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret George Town di sini, hari ini.

Kesemua suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan SPRM.

Terdahulu, enam suspek termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 36 hingga 56 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Bagaimanapun, wanita yang berstatus orang awam itu dilihat menangis teresak-esak selain dalam keadaan tangan bergari ketika pegawai SPRM mengiringinya masuk ke mahkamah.

Seorang wanita berstatus orang awam menangis sebaik tiba di pekarangan mahkamah.

Menurut sumber SPRM, seramai tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah tersebut.

“Mereka terdiri daripada empat penjawat awam dan tiga orang awam itu ditahan di sekitar negeri ini antara jam 9 pagi hingga 10 malam semalam.

“Bagaimanapun, seorang suspek lelaki dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas kenyataannya direkodkan,” katanya hari ini.

Empat penjawat awam itu terdiri daripada pasukan beruniform.

Terdahulu, SPRM menahan 17 individu termasuk sembilan penjawat awam di Kedah dan Pulau Pinang kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta runner sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

Menerusi Op Tunda itu, seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur antara jam 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette