Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan diputuskan sebelum 31 Mac ini.

Keputusan tersebut dibuat lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli sejurus selesai mendengar hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu selama enam hari bermula 19 Januari lalu.

Kata Abdul Rahman, pihaknya belum memutuskan keputusan, sebaliknya tarikh keputusan akan dimaklumkan selewat-lewatnya sebelum 31 Mac ini.

Pada 23 Ogos lalu, Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya keputusan panel lima hakim, selain memohon perintah keputusan rayuan utamanya, diketepikan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Najib memohon supaya rayuan itu didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Semakan dilakukan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta dikenakan denda berjumlah RM210 juta pada 22 Julai 2020.

Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Najib yang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan terbabit.

Dalam prosiding rayuan akhir pada tahun lalu itu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan.

Keputusan itu dicapai sebulat suara panel selepas mendapati permohonan terbabit gagal menunjukkan terdapat bahaya yang nyata bahawa ia akan menyebabkan berat sebelah. -MalaysiaGazette