Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

BERA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sepatutnya menangguhkan proses pemilihan UMNO sehingga satu keputusan diperoleh bagi permohonan usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) berkenaan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia akan menjadi konflik sekiranya RoS mendapati usul yang diluluskan dalam PAU 2022 itu bertentangan dengan perlembagaan dan dua jawatan tertinggi parti itu mesti dipertandingkan dalam pemilihan parti.

“Sebab kalau tak, tiba-tiba dia (RoS) kata boleh bertanding. Ada yang sudah bertanding jawatan naib presiden sekarang ini mungkin nak bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden. Tapi dia sudah hantar nama untuk naib presiden.

“Jadi, saya percaya kalau RoS nak buat keputusan sepatutnya menangguhkan pertandingan sehingga RoS membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Latihan Amal Bera Inter-Agensi dan Komuniti 2023 yang diadakan di Bera Waterfront di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bera itu memberitahu, perkara itu juga menjadi antara sebab beliau tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan kali ini.

“Ia bertentangan dengan perlembagaan parti. Jadi, kalau saya tak setuju dengan perkara tersebut, tiba-tiba saya dalam parti sebagai Naib Presiden sedangkan dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

“Seolah-olah saya bersetujulah. Jika saya menghantar bertanding untuk Naib Presiden, maknanya saya mengiktiraf jawatan itu untuk tidak dipertandingkan.

“Jadi, saya masih lagi konsisten dengan pendirian saya dan disebabkan itu saya tidak bertanding,” ulasnya.

Beliau turut menyangkal dakwaan dikatakan merajuk dan jauh hati dengan parti dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perbezaan pandangan dalam berpolitik tidak menjejaskan hubungan baiknya dengan Ahmad Zahid sejak sekian lama.

“Bukan protes, bukan merajuk. Saya tak merajuk. Tapi saya kena konsisten dengan pendirian saya,” kata Ismail Sabri lagi.

Pada 15 Februari lalu, Ahmad Zahid  memberitahu,  peraturan mesyuarat dan Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya di mana terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam Perlembagaan UMNO yang telah dijelaskan kepada RoS.

Menurutnya, Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan tertinggi UMNO maka keputusan untuk menambah usul yang telah dibentangkan itu telah diteliti oleh pihak RoS dan juga oleh kumpulan peguam parti selain Setiausaha Agung UMNO.

Maka Ahmad Zahid berkata, UMNO yakin RoS akan meluluskan usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tahun ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.