Penasihat Parti Putra, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media selepas menerima kad keahlian parti PUTRA di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Penasihat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan kerajaan hari ini terpaksa membuat pinjaman baharu bagi membiayai Belanjawan 2023 yang berjumlah RM388.1 bilion.

Beliau berkata, ini dilihat daripada lebihan peruntukan sebanyak RM90 bilion berbanding jangkaan kutipan kerajaan kira-kira RM291.5 bilion pada tahun ini memungkinkan pinjaman baharu bakal dibuat pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bajet ini cukup besar, yang terbesar sekali dalam sejarah negara, duit banyak nak belanja, tapi duit datang dari mana?

“Saya percaya mereka akan pinjam, sekarang ini pun kita sudah pinjam RM1.5 trilion, ini pun nak kena hutang,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri ketika mengumumkan Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lalu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir melahirkan kebimbangan sekiranya pinjaman dilakukan, negara terbeban dengan hutang sedia ada yang kini mencecah RM1.5 trilion.

“Hutang ini akan mengambil masa bertahun-tahun nak selesai, bayar tiap-tiap tahun RM40 bilion cuma bayar bunga sahaja.

“Pokok dok besar itu jugalah, tiap-tiap tahun RM40 bilion kita kena bayar dan kita nak hutang lagi.

“Fikir dan tengoklah apa akan jadi kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dia dulu tipu rakyat, srh ikat perut. Kata negara bankrap. Tp pakat dgn LGE, tahun2 berikutnya baru release bantuan kpd rakyat. Punya nak tunjuk DSNR bankrapkan negara. Padahal zaman DSNR x smp 700B hutang negara. Kenalah, LGE Menteri Kewangan paling bodoh, bebal, bangang dalam sejarah Malaysia, dgn dia ni, sama aja.

Comments are closed.