KUALA LUMPUR – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak memberi impak negatif kepada sektor pertanian negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, perjanjian yang diratifikasi Malaysia pada 30 September tahun lalu sebaliknya menjamin hak dan kepentingan petani tempatan kerana ia adalah satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.
Jelas Chin Tong, Kerajaan Perpaduan berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk barangan makanan supaya ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.
“Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan daripada melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam adalah tidak benar.
“Selain itu perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan program bantuan kerajaan termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Chin Tong menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, perjanjian CPTPP juga tidak akan mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian secara mendadak.
Katanya, Putrajaya memang bergantung kepada import barangan pertanian yang mana lebih 50 peratus daripada keperluan tempatan seperti daging kambing dan lembu dipenuhi melalui sumber import.
“Bagi tahun 2020, purata duti import bagi barangan pertanian adalah sekitar 13.8 peratus dan ia terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi 2021 dan pada masa sama, Malaysia diberi tempoh pelaksanaan lebih panjang iaitu 16 tahun lagi bagi tujuan pengurangan dan penghapusan duti import termasuk bagi barangan pertanian.
“Tambahan pula Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam, telur dan beberapa produk lain di bawah CPTPP dan masih boleh mengekalkan sistem kuota kadar tarif,” katanya. – MalaysiaGazette