Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Bajet 2023 di Dewan Rakyat gamat seketika apabila perkataan ‘kera’ kembali dikaitkan dengan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).

Ketika Datuk Seri Shahidan Kassim berbahas, Mohd Sany asyik mencelah dan mengganggu sesi beliau.

“Saya kesal kepada Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” kata Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berang dengan gelaran itu, Mohd Sany bingkas bangun dengan mengeluarkan kenyataan bahawa sebagai orang lama di Dewan Rakyat, Shahidan sepatutnya lebih arif dengan penggunaan perkataan itu.

“Patutnya orang lama bagi contoh, minta tarik balik (gelaran kera).

“Saya pun tak guna perkataan itu lagi. Patutnya Arau bagi contoh pada kami yang baru ini.

“Kata ahli Pas patut bawa budaya adat Islam tapi cakap macam mana ini,” celah Mohd Sany.

Perbuatan itu menimbulkan rasa kurang senang Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang menegur sikap Mohd Sany itu.

“Perangai itu, elok sikit. Ubah sikit,” jerit Mohd Misbahul.

Pertikaman lidah berlangsung lima minit sehinggakan Mohd Sany mendakwa ia berpunca daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang yang membuat kecoh ketika beliau membuat celahan.

“Ini jadi masalah bila buat kenyataan tebuk atap, atap pecahlah,” kata Mohd Sany.

Pertikaman lidah itu mendapat perhatian Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) yang memohon Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul agar meleraikannya.

“Speaker minta kawal,” ujar Ahmad Amzad.

Johari berkata, beliau membiarkan pertikaman lidah tersebut bagi memberikan ruang kepada rakyat menilai drama tersebut yang disiarkan secara langsung di media sosial.

“Saya nak tengok ramai yang nak jerit, rakyat sedang tengok. Teruskan, rakyat sedang tengok.

“Adakah Arau sebut perkataan unparlimentary kepada Hulu Langat? Adakah Arau perkataan tidak Islamik tadi?,’ soal Johari kepada Shahidan.

Shahidan menafikan beliau ada membuat kenyataan seumpama itu.

“Tidak, niat saya ikhlas. Tidak ada sangkaan buruk. Saya sebut jangan berperangai seperti kera di hutan,” jawab Shahidan.

Mendengar penjelasan itu, Johari memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Shahidan dan ia dianggap selesai.

“Jadi kes tutup,” sebut Johari. – MalaysiaGazette