Calon Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Pertandingan jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO dalam pemilihan parti kali ini yang menyaksikan pertembungan enam penjuru tidak melemahkan satu-satunya calon dari Selangor, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin.

Dengan kelebihan bukan sahaja daripada segi kepimpinan, bahkan berjaya dalam keusahawanan, Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan itu yakin mampu menawan hati anak muda melalui pendekatan menangani kos sara hidup.

Wan Noor Akyilah yang lebih dikenali sebagai Sis Lin berkata, minat anak muda kini lebih cenderung kepada bidang perniagaan malah berkembang secara mendadak sejak negara dilanda pandemik Covid-19 lebih tiga tahun lalu.

“Saya ingin meneruskan perjuangan, saya nak tarik lebih ramai anak muda untuk bersama-sama dengan UMNO memperjuangkan parti.

“Saya ingin membuka ruang dan peluang menarik seramai boleh anak muda dalam bidang keusahawanan memandangkan keadaan ekonomi negara kurang stabil ketika ini.

“Saya ingin membuka peluang terutamanya wanita muda untuk bersama saya dalam bidang perniagaan, wanita muda pemangkin ekonomi,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Sebelum ini, perebutan bagi jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO sah menyaksikan pertandingan enam penjuru selepas tarikh akhir penghantaran borang pencalonan bagi Pemilihan UMNO 2023 ditutup pada 26 Februari lalu.

Selain Wan Noor Akyilah, jawatan sayap wanita muda parti itu turut ditandingi lima calon lain termasuk Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr Masliha Harun dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.

Turut menawarkan diri ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar dan Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Dalam pada itu, Wan Noor Akyilah turut menyimpan impian untuk menubuhkan Rumah Puteri sekurang-kurangnya satu di setiap negeri yang menawarkan kursus keusahawanan khususnya ahli Puteri UMNO secara percuma.

“Rumah puteri adalah satu-satunya pusat kepada semua puteri berkumpul di situ yang akan dijalankan kelas bimbingan usahawan, pusat kebajikan, kelas tuisyen percuma dan pusat bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan.

“Insya-Allah saya akan bawa anak muda untuk bersama-sama dalam ruang perniagaan, ruang keusahawanan dan kerjaya.Saya ingin membawa lebih ramai wanita muda untuk terus berjuang dalam bidang ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette