PUTRAJAYA – Walaupun sudah mencecah 97 tahun, namun Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau masih menyimpan hasrat untuk membela nasib orang Melayu yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.
Beliau berkata, penyertaannya dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bakal menjadi platform untuk meneruskan perjuangannya yang masih belum selesai.
“Saya jadi ahli Putra ini kerana saya berpendapat saya perlu ada satu platform untuk saya teruskan perjuangan saya.
“Walaupun saya umur 97 tahun, tapi hati saya ini masih lagi dengan perjuangan orang Melayu, bukan sayang parti tapi sayangkan rakyat, parti cuma alat sahaja.
“Perjuangan ini untuk orang Melayu, saya dapati bahawa kedudukan orang Melayu sekarang ini lebih banyak masalah daripada kaum lain.
“Kita berjuang untuk orang Melayu, ini bukan kerana perkauman, kita perlu melihat orang Melayu juga dapat bahagian mereka (kek ekonomi) di negara kita,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Terdahulu Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali menyerahkan kad keahlian parti yang bernombor satu kepada Dr Mahathir, di samping watikah pelantikan sebagai penasihat Putra, berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Khalid Yunus turut menyerahkan kad keahlian kepada 11 bekas pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Antara bekas pimpinan Pejuang itu ialah Datuk Marzuki Yahya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Mohd Jafrie Hussain, Abu Bakar Yahya, Ahamed Basheer Mohd Huss, Fyzul Adzwan Mustapha, Azman Mohd Hashim, Afiqah Mohammad, Wan Azlina Wan Adnan, Armin Baniaz Pahamin dan Mohamad Jani Ismail.
Selain itu, Dr Mahathir juga melahirkan rasa kecewa apabila orang Melayu tidak lagi menguasai politik khususnya UMNO yang kini menjadi parti kerdil dan tidak mampu memperjuangkan nasib komuniti terbesar itu.
“Dulu kita menguasai politik, UMNO jadi parti terbesar memimpin kerajaan.
“Tetapi hari ini UMNO jadi parti yang kecil, kena ikut orang lain, ikut musuh mereka, tak boleh berjuang untuk orang Melayu kerana mesti ambil kira pandangan orang lain,” katanya.
Menurutnya, lebih menyedihkan apabila perniagaan secara kecil-kecilan yang sebelum ini dikuasai orang Melayu, kini dimonopoli pendatang asing.
“Sekarang kita dapati gerai-gerai orang Melayu sudah dibeli orang pendatang (asing) dan merekalah yang menguasai perniagaan kecil-kecilan.
“Jadi apa yang tinggal kepada orang Melayu, tak ada apa dah, tanah pun dah jual habis.
“Jadi kalau kita tak selamatkan orang Melayu, negara kita ini akan menghadapi masalah kepincangan kerana kita tidak sama dalam agihan kekayaan negara kita,” jelasnya.
Katanya lagi, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, Dr Mahathir mahu memastikan orang Melayu tidak menjadi komuniti yang termiskin di tanah air sendiri.
“Sebelum saya mati, saya akan kerja untuk bangsa saya, kalau nak kata saya rasis, katalah.
“Saya berpendapat orang Melayu tidak harus dijadikan kumpulan yang termiskin yang tidak ada apa-apa dalam negara mereka sendiri.
“Kalau orang Melayu masih lagi berpecah, berlawan sesama sendiri, lemah, tiada kuasa politik, tak boleh kuasai ekonomi termasuk kecil-kecilan pun tiada, saya ingat masa depan orang Melayu amat gelap sekali,” katanya. – MalaysiaGazette
Tun Atok PM pada September 1988 tanpa repatriasi izinkan tentera Tanah Besar Komunis Cina aka PKM dapat hak warganegara tempatan ic undi pru dan membiarkan Dasar Ekonomi Apartheid aka DEB/NEP hadkan 30% ekonomi untuk majority Melayu supaya minority bukan Melayu meraih 70% ekonomi ibarat menang sorak kampung tergadai sehingga kini.
Bukan 97 dah 98.. Berehat adalah pilihan yg terbaik buat masa ini..