Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua calon peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan agar memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir hingga tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan.

Menerusi kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan (LP) dan JPN di seluruh negara untuk sebarang masalah.

“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri,” katanya.

KPM berkata, berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac, sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan manakala, jalan raya pula tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Menurut KPM, di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun, kesemua mereka berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan berhampiran menggunakan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.

“Manakala, seramai 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran.

“KPM melalui LP sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, KPM berkata, pihaknya sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.

Pada masa sama KPM memberitahu, pengurusan pengendalian peperiksaan SPM dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung,” tambahnya. – MalaysiaGazette