Ahmad Zamry menunjukkan gambar mangsa warga emas yang ditemui lemas di rumah berasingan di Jalan Kwongsai, Chaah, Segamat, pagi tadi.

SEGAMAT – Dua warga emas lelaki dan wanita menjadi mangsa korban banjir terbaharu di Johor selepas ditemukan lemas di dua rumah berasingan di Jalan Kwongsai, Chaah, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kedua-dua mereka dikenali Lee Amo Yee, 78, dan Tan Sue Ke, 74.

Menurutnya, kedua-dua mereka ditemukan di dalam rumah masing-masing yang tidak beralamat di belakang Balai Polis Chaah oleh waris mereka pada pukul 11 pagi tadi.

“Waris mangsa memaklumkan kedua-dua mangsa tinggal di rumah berseorangan dan dikatakan tidak keluar dari rumah kerana menyangka banjir tidak seburuk ini.

“Ketika kejadian, rumah mangsa tenggelam sehingga ke paras bumbung dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zamry berkata, banjir buruk di daerah ini turut menjejaskan kawasan perumahan polis di Chaah dan Bandar Segamat, melibatkan lebih 169 keluarga pegawai serta anggota polis.

“Dari segi cabaran lain, banjir kali ini sememangnya tidak dijangka malah ia juga adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun terutamnya di kawasan Chaah.

“Malah, ada juga kawasan seperti di Kampung Sri Gajah yang dikelilingi kelapa sawit menyebabkan bot agensi penyelamat sukar sampai ke lokasi banjir yang terhalang dengan sisa sawit,” katanya. – MalaysiaGazette.