Operasi mencari yang digerakan untuk mencari seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatri lemas di Sungai Pasir, Sri Makmur petang semalam.

KUANTAN  Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Pasir, Kampung Seri Makmur di Chini, Pekan dekat sini, petang semalam.

Menurut saksi, mangsa yang berumur 10 tahun dikatakan bersama rakannya pergi melihat orang bermain kayak di kawasan air bertakung di atas jalan Sri Jaya Belimbing.

Mangsa disyaki tergelincir di tebing alur dan kali terakhir dilihat terkapai- kapai sebelum tenggelam di bawa arus dan hanyut ke anak Sungai Pasir, Sri Makmur.

Mangsa, Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, dipercayai hilang pada 2.50 petang, menurut kenyataan Ibu Pejabat Daerah Polis Pekan.

Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah  beroperasi di lokasi kejadian bagi menyelaras Op SAR yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang tempatan dalam pencarian ini.

Operasi telah ditangguhkan jam 6.00 petang dan akan disambung pada jam 8 pagi ini.

Orang Awam dinasihati sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan semasa. Patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir.
Utamakan keselamatan diri dan ahli keluarga ketika musim hujan. – MalaysiaGazette