Pegawai penyiasat kes Inspektor Amirul Amir menunjukkan tempat suspek menyimpan ganja dalam kereta yang dipandunya pada sidang media IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Taktik seorang peniaga dalam talian meletakkan lima ketulan mampat ganja di bahagian kaki penumpang hadapan kereta gagal mengaburi mata pihak polis selepas dia diberkas di pusat bandar pada 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya memberkas berusia 33 tahun itu pada 9.50 malam.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta Perodua Bezza yang dipandu suspek membawa kepada penemuan lima mampat ganja bernilai RM13,160.

Soffian.

“Hasil siasatan mendapati suspek giat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lalu dan ganja itu untuk pasaran tempatan.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah selain hasil ujian air kencing positif dadah.

“Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan termasuk wang tunai serta kereta suspek berjumlah RM60,316,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Tambah Soffian suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – MalaysiaGazette